Thursday, November 4, 2010

Bacaan Bertema Prasekolah

Penulis telah menulis 37 siri buku Bacaan Bertema Prasekolah bersama rakan-rakan, iaitu Surayah Zaidon dan Rusleda Awang, terbitan MEP Publication. Sasarannya untuk semua guru tadika sama ada guru tadika kerajaan, agensi kerajaan mahupun swasta. Buku ini juga disasarkan untuk kanak-kanak tadika yang telah mengenal bunyi mahupun suku kata. Selain itu, buku-buku ini juga berfaedah untuk pensyarah-pensyarah dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak. Buku-buku comel yang besar manfaatnya ini berfokuskan pendekatan bertema selaras dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Selain itu, buku berwarna-warni ini mengandungi tema-tema yang bertepatan dan selaras dengan kurikulum KSPK.
Penulis memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian)  Bahasa Melayu dari UM, Diploma Pendidikan dari UM dan Ijazah Sarjana Pendidikan Prasekolah dari UKM.

Wednesday, November 3, 2010

Abstrak Kajian

PENDEKATAN INKLUSIF:
SUATU KAJIAN KES KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS
MASALAH PEMBELAJARAN (AUTISME)

 OLEH:
KARIMAH BT MAMAT @ HARUN

 Prosiding Seminar Penyelidikan 2010. IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan.

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk membandingkan perbezaan pengaruh pendekatan inklusif terhadap kanak-kanak berkeperluan khas masalah pembelajaran (kategori autisme ringan), dengan kelas pendidikan khas masalah pembelajaran. Antara aspek yang akan dikenal pasti adalah merangkumi masalah-masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak autisme dalam usaha untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di kelas integrasi aliran perdana. Selain itu, kajian ini akan turut menghuraikan perubahan-perubahan positif yang dialami oleh kanak-kanak autisme daripada aspek sosial, psikomotor dan kognitif. Kajian kes ini melibatkan sebanyak tiga sampel yang terdiri daripada kanak-kanak berkeperluan khas masalah pembelajaran daripada kategori autisme ringan. Sampel kajian dipilih daripada tiga buah sekolah rendah yang melaksanakan pendekatan inklusif secara integrasi di aliran perdana di Kelantan. Data diperoleh melalui kaedah temu bual berstruktur, pemerhatian dan pencalonan sosiometrik. Kaedah temubual berstruktur melibatkan guru biasa, guru pendamping, ibu bapa dan rakan sebaya di kelas integrasi aliran perdana. Manakala kaedah pemerhatian dan pencalonan sosiometrik pula dilaksanakan terhadap kanak-kanak autisme. Data temu bual dianalisis dan ditranskripsikan secara abjad. Konklusinya hasil dapatan kajian ini didapati selaras dengan teori yang digunakan, iaitu Teori Perkembangan Ekologi Bronfenbrenner (1979) yang menegaskan bahawa perkembangan kanak-kanak dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran. Sehubungan itu dapatan kajian memperlihatkan bahawa perkembangan kanak-kanak autisme dipengaruhi oleh faktor persekitaran iaitu kelas integrasi yang menggunakan pendekatan inklusif di aliran perdana. Maka, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pendekatan inklusif yang dilaksanakan di aliran perdana berupaya memberi pengaruh yang lebih besar terhadap perkembangan kanak-kanak autisme berbanding kelas pendidikan khas masalah pembelajaran. Pengaruh pendekatan inklusif ini dapat diperhatikan terutamanya daripada aspek penyesuaian diri kanak-kanak autisme dan perubahan positif yang dialami daripada aspek sosial, psikomotor dan kognitif. Dapatan kajian ini memperlihatkan bahawa kanak-kanak autisme (kategori ringan) ini berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan dan dapat mengatasi masalah yang yang wujud ketika mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di aliran perdana.